BAHARU saja dia menghadirkan diri ke dalam bilik pejabat dan secara tidak langsung, dia menangkap perbualan beberapa orang guru yang kebetulan berada di situ.
"Dengar khabar Lee Tae Hwan dihalau maknya ke Pulau Cheju. Kalau nak tahu tempat tu adalah tempat asal keluarga mereka sebelum berpindah ke sini."
"Betulkah? Nampaknya dia betul-betul takkan lagi berada di sini."
Guru-guru yang lain mengangguk tanda setuju.
Ji Sung termangu di mejanya. Lee Tae Hwan berada di Cheju? Nampaknya Shin Yeo tidak akan lagi dapat bersua dengan pelajar lelaki itu. Kemudian dia terpandang akan tiket penerbangan ke Jepun yang terselit di dalam salah sebuah bukunya. Fikirannya sedikit kacau dibuat ingatan terhadap bicara ibunya tempoh hari. Telefon tiba-tiba berdering.
"Deh..saya adalah Park Ji Sung."
Buat sekian kalinya, membesar bola mata Ji Sung dek berita yang dikhabarkan kepadanya di dalam talian waktu itu. Terpaku.
KAD namanya dihulurkan oleh seorang pegawai polis setelah dia diminta untuk datang ke balai polis bagi memastikan satu hal yang barangkali berkaitan dengan dirinya. Ji Sung berasa sangat sangsi.
"Boleh tak encik beritahu saya mengapa tiba-tiba saya dipanggil ke sini?"
"Sebenarnya kad nama encik telah kami jumpai pada seorang mangsa kemalangan beberapa hari yang lalu sebab itu pihak kami meminta encik untuk datang bagi mengenal pasti sama ada encik mengenali mangsa atau tidak. Tambahan pula, pihak kami sukar untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang mangsa," ulas pegawai polis tersebut.
"Mangsa kemalangan?" Ji Sung mengerutkan dahinya.
Pegawai polis itu lalunya menunjukkan sekeping gambar mangsa yang dimaksudkan.
Bulat mata Ji Sung memandang wajah di dalam gambar tersebut.
"Mangsa bernama Kang Goo..bekas pekerja buruh. Encik kenal mangsa?"
Kelu lidahnya buat sejenak. Terpana buat sementara. Detik itu hanya wajah Shin Yeo terbayang dalam mindanya. Turun naik nafas Ji Sung mengawal perasaan terkilannya.
"Di mana dia sekarang?" Semacam sukar Ji Sung menutur kata. Bertanyakan perihal Kang Goo.
"Sekarang ini pihak hospital sedang menunggu ahli keluarga untuk menuntut mayat mangsa."
Sekali lagi Ji Sung terpana. Apa benarkah berita yang didengarnya itu? Kang Goo telah meninggal dunia dalam kemalangan? Bagaimana dia ingin memberitahu hal yang memilukan itu kepada Shin Yeo? Mampukah gadis itu menerimanya?
Lurus tetapi sangat perlahan langkah Ji Sung menjejak luar balai polis tersebut. Kedua-dua tangannya menyeluk sepasang kocek bajunya lalu salah satu tangan tersebut mengeluarkan sehelai kertas nipis. Tiket penerbangan. Ji Sung meneliti tiket berkenaan. Dia sudah membuat keputusan untuk membawa Shin Yeo ke hospital bagi menuntut mayat Kang Goo meskipun rasa keberatan lantaran dia sendiri tidak mampu berfikir apa respon gadis itu setelah mengetahui perkhabaran sebenar tentang ayah saudaranya.
Tanpa teragak-agak juga, dia mengoyak tiket penerbangan tersebut dengan wajah tekad. Antara Jepun atau syarikat keluarganya, dia memilih untuk tetap berada di Korea.
0 comments:
Post a Comment