Thursday, February 21, 2008

Extra 1 : [Flashback]

SEBAHAGIAN pelajar masih ada yang mahu berada di dalam kelas semasa waktu rehat. Kebanyakan mereka pula merayau ke tempat lain bersama teman-teman.
Perlahan sahaja langkah Shin Yeo menuju ke laman belakang sekolah yang agak sunyi. Maklumlah, bukan tempat kegemaran ramai pelajar untuk bersantai di waktu rehat sebegitu. Di dalam kelas sebentar tadi dia terlihat akan notis kecil daripada Tae Hwan yang ingin bertemu di laman tersebut pada waktu itu. Lalu dia pergi ke situ.
Sudah kelihatan kelibat Tae Hwan mengusik-ngusik rumput kecil dengan kasutnya sambil menunggu ketibaan gadis itu yang kemudian menghampirinya.
Tae Hwan mengangkat pandang ke arah Shin Yeo yang bersahaja membalas pandangan pelajar lelaki itu.
Dia sedikit curiga terlihatkan Tae Hwan sedang menggalas beg sekolahnya. Sekarang kan waktu rehat, Tae Hwan mahu pergi ke mana pula dengan begnya sekali? Mahu ponteng kelas?

“Kau..dengan beg tu...?” Shin Yeo bersuara.
“Tak payah ambil kisah.” Jawab Tae Hwan selamba.
Shin Yeo jadi malas. “Kenapa panggil aku ke sini?” Lantas dia menukar topik pertanyaan. Rupanya dalam diam dia tertanya-tanya.
“Tak bolehkah aku bertemu-janji dengan kau di sini?” balas Tae Hwan selamba.
Shin Yeo lalu mengalihkan perhatiannya ke arah lain, bagai tidak serius pula menerima jawapan itu.
"Aku nak tanya kau sesuatu," tutur Tae Hwan.
Baharulah Shin Yeo menoleh kembali tepat ke wajah Tae Hwan, menanti.
"Kau..benarkah kau tak kisah cakap aku tempoh hari?"
Shin Yeo menampakkan wajah kehairanan pula. "Cakap kau?"
"Aisshh..!" ujar Tae Hwan menyambut. Geram gadis itu tidak memahami maksudnya. "Benarkah kau tak kisah kalau aku cakap kau dan aku hanya rakan sekelas? Tak kisah kah?" Oh..perihal pengakuan dia kepada Ji Sung akan hubungan sebenarnya dengan Shin Yeo.
Agaknya baru Shin Yeo faham apa yang dikatakan oleh Tae Hwan melalui pandangan di wajahnya detik itu. "Kwen cha na. Aku tak kisah." Mudah sahaja dia meluruskan kata-katanya sebagai jawapan. Bagaimana boleh..??
Tae Hwan nampak sedikit pelik. "Bwuh? Betulkah kau tak kisah?" Lagi dia meminta kepastian.
Shin Yeo cuma mengangguk. Bagaimana dia boleh tidak berasa apa-apa tatkala teman lelaki sendiri tidak mengiyakan perhubungan mereka yang sebenar? Atau..dia merasakan hal mereka tidak perlu disebarkan? Atau juga..pemikirannya sama sahaja dengan Tae Hwan, biar perhubungan mereka itu hanya menjadi rahsia masing-masing?
Dia bagaikan tidak percaya pula bahawa gadis itu bersahaja menjawab soalannya. Jangkanya Shin Yeo akan berasa tidak senang tetapi sebaliknya pula berlaku. Lagak Shin Yeo normal sahaja. Tiba-tiba Tae Hwan tersenyum nipis sendirian. Sebenarnya dia berasa senang sekali akan respon pelajar wanita itu.
Perlahan-lahan mereka berdua mula beredar dari laman tersebut.
"Apa sebab kau tak kisah?" ujar Tae Hwan sengaja bertanya lagi.
Kelihatan Shin Yeo agak ragu-ragu hendak menjawab. Hakikatnya dia tidak tahu bagaimana mahu membalas pertanyaan pelajar lelaki itu. Ketika dia menerima lamaran Tae Hwan untuk sama-sama bercinta tempoh hari pun sebenarnya dia tidak tahu mengapa harus berbuat demikian lantaran dia tidak pernah ada hati terhadap Tae Hwan. Pada hakikatnya, Shin Yeo terkeliru. Malah dia sendiri tertanya-tanya. Bagaimana dia boleh berkata setuju ketika itu? Atau..baginya menerima Tae Hwan ibarat menerima kehadiran seorang sahabat dalam hidup dan adakah ini bermakna Shin Yeo sebenarnya tidak tahu membezakan antara cinta dan teman? Ringkas kata, apa percintaan dan persahabatan adalah hal yang sama buat dirinya?
Berlainan pula dengan Tae Hwan..detik itu dia teragak-agak melakukan sesuatu. Dia cuba memegang tangan Shin Yeo secara senyap-senyap. Akhirnya dia berjaya melakukannya.
Shin Yeo pantas menoleh ke arah Tae Hwan dengan wajah berkerut. Kurang senang. Aahai..sudah berani pula Tae Hwan menyentuhnya. Segera dia meleraikan pegangan lelaki itu.

Tae Hwan nampak bengang. "Ya..kau dan aku dah bercinta. Gadisku dan aku tak boleh berpegangan tangan?" "Bwuh? Gadisku?" Shin Yeo menyambut kebingungan. Mahu sahaja dia gelak kelucuan tetapi dia lebih mahu meneruskan percakapannya. "Ya..sini adalah sekolah. Bersopanlah sikit." Menjeling ke arah lain, tidak selesa akan karenah Tae Hwan. Dia mendahulukan langkah ke hadapan.
"Ya! Susahnya bercinta dengan kau!" Semacam satu keluhan pula.
Shin Yeo lalu berpaling. "Aku tak minta pun bercinta dengan kau."
"Ya!" sambut Tae Hwan. Nampak agak tidak berpuas hati.
"Anda." Mendatar sahaja suara Shin Yeo meminta pergi dari situ.
Tae Hwan mengeluh ringan jadinya. Matanya masih melekat pada pemergian Shin Yeo. Bercinta dengan Shin Yeo..sedikit-sebanyak membuahkan persoalan dalam minda dan hatinya berbanding membuahkan kegembiraan dan keseronokan bercinta zaman remaja. Malah dia sendiri tidak memahami apa sebenarnya perasaan gadis itu terhadapnya. Cuma apa yang dia tahu Shin Yeo pasti juga menyukainya, kalau sebaliknya tentu mereka tidak akan bercinta.

0 comments: