Sunday, February 24, 2008

Chapter 1

TEPAT jam 7 pagi, dia sudah bersiap-siap menyelempangkan begnya sebelum keluar dari rumah yang agak moden malah nampak selesa. Tidak lagi seperti rumah lamanya yang usang. Kini dia sudah mampu untuk tinggal di kawasan perumahan yang menyenangkan sedemikian. Tanpa berlengah, dia meneruskan perjalanan menuju ke jalan besar.

Sebaik sahaja menuruni bas, dia mula melangkah masuk ke dalam sebuah kedai yang menampilkan jualan pelbagai perabot dan perkakas yang khusus bagi menghias sesebuah lokasi.

"Ahnyong ha se yo!" ucapnya mesra sambil seperti biasa menundukkan sedikit kepalanya.
Lantas seorang rakan sekerja yang berada di situ menyambut dengan senyuman ramah.

Dia terus mengambil tempatnya di satu sudut, ada kerja yang hendak diselesaikan waktu itu. Nampak agak sibuk.

"Mengapa kelmarin tak datang sini?" ujar si rakan.

Terlebih dahulu dia menyimpulkan senyuman lalu menjawab. "Tak sempat datang. Projek kita dah nak bermula."

"Betulkah? Bila tu?"

"Tak tahu lagi. Kena tunggu pengesahan dari pihak atasan."

Si rakan mula bertepuk tangan. Gembira. "Seronoknya! Tak lama lagi akan ada sebuah hotel ternama yang lengkap dengan pelbagai keperluan. Kalau projek tu berjaya, kedai kita pun akan jadi terkenal. Betul tak?" Girang.

"Deh.." sahutnya bersama senyuman yang melebar. Bersetuju sahaja.

Si rakan mengangguk-anggukkan kepala, sudah mula membayangkan kedai mereka yang tidak seberapa itu bakal mendapat banyak tempahan satu hari nanti jika projek yang membabitkan kedai rekaan mereka sukses.

"Emm..kau tak pergi lagi? Bukankah pihak atasan hotel tu yang sekarang bertanggungjawab beri gaji pada kau, tak takut kau akan dipecat sebab terlewat?" Si rakan bertanya.

"Ahni-a..sekalipun bekerja kontrak di hotel tu tak bermakna aku tak dibenarkan untuk memantau kedai ni. Lagipun ia adalah salah satu syarat aku diupah bekerja di situ," jelasnya ringkas.

Anggukan kepala si rakan menunjukkan tanda faham.

"Tentu bos akan rasa bangga dengan pencapaian kau kali ni. Tahu-tahu sajalah bos banyak karenah. Selalu cepat melenting kalau ada yang tak kena tapi kebelakangan ni dia okey saja." Si rakan bercerita pula. "Satu hal lagi..tentu seronok bekerja di tempat yang ternama macam tu kan?"

Dia hanya membalas dengan senyuman nipis sambil fokus menyiapkan rekaannya di atas beberapa keping kertas.


SEBUAH bas singgah di salah satu perhentian. Beberapa orang penumpang berduyun-duyun menaikinya. Di suatu sudut di dalam bas berkenaan, kelihatan seorang wanita yang sudah boleh digelar mak cik tengah asyik merenung seorang lelaki yang kebetulan duduk di bangku sebelah.
Entah apa yang menarik perhatian wanita itu hingga berbuat demikian. Barangkali ketrampilan segak lelaki itu mendorongnya terus-terusan merenung si lelaki yang nampak tidak menyedari perbuatannya. Jarang sekali dia menengok lelaki berpakaian sebegitu menaiki bas. Nampak dia tertarik terhadap penumpang bas tersebut melalui pandangan matanya.

Dia meleretkan senyuman sendiri tanpa punca. Malah tanpa diduga, lelaki itu pantas menolehkan wajahnya ke arah mak cik membuatkan si mak cik terpinga-pinga pula. Agaknya perbuatan mak cik itu sebenarnya telah disedari.

"Ya ajumma! Aku tahu kau sedang merenung aku. Apa aku nampak kacak kah?"

Si mak cik menarik muka geram. "Bwuh?! Kacak? Kau jangan perasan. Huh! Muka kau serupa saja dengan si pelagak yang bercakap besar." Wanita itu cuba berdalih pula.

Perhatian beberapa penumpang bas satu-persatu mula tertumpu pada pertelingkahan dua manusia berbeza umur itu. Masing-masing berbisik kehairanan, mana satu yang bercakap benar.

Semakin lebar pula senyuman di bibirnya dek kata dalih tersebut. "Tak sangka mak cik masih nakal lagi, ya?" Usiknya.

Merah padam wajah si mak cik mendengar. Malu. Marah. "Ya! Kau jangan biadab. Buat apa pula aku merenung kau? Kau ingat aku tertarik pada kau kah? Begitu?" Nampaknya mak cik hendak melawan kali ini.

"Ahni. Sebenarnya ingatkan mak cik nak memikat aku," balasnya tanpa silu-segan.

Kedengaran nada tawa para penumpang yang berada di situ. Seolah-olah tengah menyaksikan sebuah drama komedi pula.

Kurang ajar! Si mak cik mengetap bibir. Sakit hati.

Dia bangun dari duduknya lalu menghampiri si mak cik yang nampak sedikit kegusaran ketika lelaki itu mendekatkan wajah tepat ke wajahnya. Si mak cik menelan air liru. Debar.
Bas berhenti lagi di destinasinya.

"Ajumma..aku tahu kau memang berminat pada aku," usiknya lagi sambil mengenyitkan mata. Kemudian selamba sahaja dia berlalu bersama senyuman sinis menghias bibirnya. Puas mengenakan orang yang lebih tua. Alahai!

Si mak cik menghembus nafas geram. Sesak pula dibuat tindakan orang muda itu.


HOTEL SEOUL...cepat malah lekas langkah Tae Hwan meluru masuk ke situ. Serius. Di mana-mana para pekerja hotel pasti memberi sapaan yang berunsur ramah tatkala terserempak dengannya. Masing-masing nampak kagum dengan perwatakan serta penampilan yang ditonjolkannya. Terutama sekali para pekerja wanita.

"Ahnyong ha se yo sajangnyim!" Mesra sekretari menegurnya.

Tae Hwan membalas sapaan tersebut sambil menundukkan sedikit kepalanya tanda sama-sama hormat. Lantas sahaja dia hendak membolos masuk ke dalam bilik pejabat. Tiba-tiba sahaja dia dihadang pula oleh sekretari berkenaan yang sengaja berdiri betul-betul di hadapan daun pintu.
Dia memandang serius lagi hairan ke arah sekretari itu.

"Andwae ya sajangnyim. Puan dah pesan tak boleh suruh kau jumpa dia," beritahu si sekretari dengan wajah mengharapkan lelaki itu memahami kondisi yang tengah berlaku.

"Setiausaha Jung, ke tepi," sambut Tae Hwan seakan-akan memberi peringatan pula.
Jung kelihatan serba salah.

Segera sahaja Tae Hwan memintas Jung terus memusing tombol pintu untuk masuk ke dalam.
"Sajangnyim!" Hanya itu ungkapan yang mampu diluahkan oleh sekretari tersebut. Resah. Jung mengetap bibir, bimbang dimarah oleh majikan besarnya nanti.

Sejurus langkah pertamanya menginjak ke bilik pejabat itu, sepasang mata yang dingin pantas menangkap kehadirannya yang entah sudah diduga atau tidak. Sepantas itu juga sebuah fail dihumban tepat ke arah Tae Hwan, mujurlah dia sempat mengelak. Fail tersasar ke pintu pula. Nyaris-nyaris dia dikenakan.

Makin serius tentangan mata yang Tae Hwan tujukan. Geram. "Bagusnya. Lontaran yang agak hebat."

"Tak berguna betul!" Menjegil sudah kedua-dua belah mata Puan Choi merenung marah anak lelakinya itu. Kondisi yang sama, tetap tidak berubah sejak dulu lagi. Ketegangan seringkali berlaku antara mereka dua beranak.

"Bagi balik kereta saya." Lancar sahaja mulut Tae Hwan berterus-terang akan kemahuannya datang ke hotel tersebut.

"Huh! Memang padan muka kau. Mak bersusah-payah aturkan temu janji untuk kau, apa pula yang mak dapat? Kau dah rosakkan semuanya! Memang wajar mak tarik kereta kau sebagai balasan."

"Tak kisahkah saya naik bas ke mana-mana? Saya takkan memalukan mak kah?" jawab Tae Hwan melawan.

"Diamlah! Mak belum habis cakap lagi." Puan Choi nampak berang.

Tae Hwan sekadar menunjuk wajah bosan bercampur geram.

"Kau sengaja nak kenakan mak, ya? Setiap kali mak aturkan temu janji, tak bolehkah kau buat dengan baik? Oh?" ujar Puan Choi mengeluh.

"Kan dah cakap soal tu tak usah mak nak bersusah-payah. Maksudnya tak usah aturkan apa-apa temu janji untuk saya lagi."

Kepala Tae Hwan lantas disepak ringan. Nampak muka lelaki itu agak tegang namun dia cuba bersabar.

"Kurae! Kalau begitu memang padan muka kereta kau ditarik. Mak tak kisah!" Puan Choi melepas amarah.

Sakit hati Tae Hwan dibuat respon wanita itu. "Yeh..buatlah suka hati mak."

Tanpa berlengah lagi, Tae Hwan terus sahaja melangkah keluar dari bilik pejabat itu. Wajahnya masih menegang. Marah. Terkebil-kebil Jung memerhatikan anak tunggal majikannya itu.

"Anak tak berguna!" Separuh memekik Puan Choi meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Dalam perjalanan menuju ke pintu lif..mereka berdua terserempak pula. Tersenyum gembira wanita itu memandangnya.

"Tae Hwan, kau dah sampai? Bagaimana perjalanan dari Cheju?" Lembut Eun Joo menyapa dan bertanya.

"Baik saja," sambut Tae Hwan. Acuh tak acuh. Perasaan geram dan sakit hatinya terhadap Puan Choi masih bersisa.

"Baguslah. Ayuh jumpa mak," tutur Eun Joo mempelawa pula.

"Saya dah jumpa tadi."

"Eh? Bukankah kau baru sampai? Kenapa tak singgah lama sikit? Kita sekeluarga dah lama tak makan bersama, apa kata ajak mak makan tengah hari? Bagaimana?"

Tae Hwan tersenyum senget pula. Seakan rasa kelakar dengan ayat kakaknya itu. "Andwae. Saya dah penat nak bergaduh lagi hari ni. Lain kali sajalah."

"Kenapa ni? Kau dan mak bergaduh lagi?" Eun Joo nampak tidak percaya.

"Saya ada hal di luar. Pergi dulu." Tae Hwan meneruskan langkahnya. Nyata dia mahu mengelak dari lanjut berbual dengan wanita itu yang kini sudah memasuki lingkungan umur 30-an. Lebih-lebih lagi jika topik tersebut mengenai Puan Choi.

Eun Joo memerhati kebingungan. Tetapi memang tidak hairanlah kalau Puan Choi dan Tae Hwan bergaduh, hal itu sudah menjadi lumrah dalam keluarga mereka. Kedua-dua beranak itu masih tidak boleh berbaik-baik. Ada sahaja hal yang tidak kena membuatkan mereka sering bertelingkah.


EUN JOO terlebih dahulu mengetuk pintu bilik pejabat milik Puan Choi sebelum menjejak masuk. Dia menghampiri si ibu yang kelihatannya tengah duduk tenang di tempatnya sambil meneliti beberapa buah fail di atas meja.

"Duduklah." Perlahan nada Puan Choi mempersila.

Teragak-agak pula usul Eun Joo hendak berbicara setelah melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapanan wanita itu. "Saya terserempak Tae Hwan. Dia kata dah jumpa mak." Akhirnya terluah jua hajatnya.

Ada sedikit reaksi di wajah Puan Choi mendengar butir bicara Eun Joo. Namun dia tetap fokus pada kerjanya.

"Mengapa mak tak bersembang lebih lama dengan dia? Kan mak jarang bertemu dia sebelum ni."

"Buat apa? Tengok dia pun mak tak tahan. Perangainya langsung tak berubah. Setiap kali bercakap dengan dia, darah mak akan menyirap naik ke otak. Memang tak berbaloi kalau mak masuk hospital disebabkan dia. Menyakitkan hati saja!"

"Ommonyim..mengapa tak cuba berbaik dengan dia? Tae Hwan dah besar sekarang. Dia pun dah matang. Tentu sekurang-kurangnya dia boleh dengar cakap. Takkah begitu?"

"Bwuh?! Kalau dia dengar cakap, dia takkan rosakkan temu janji yang mak susah-payah aturkan untuk dia. Satu temu janji pun langsung tak menjadi. Anak tak berguna tu keras kepala. Degil! Dia takkan dengar cakap sesiapa. Hoh..tak usahlah cakap pasal dia lagi. Mak dah tak tahan ni. Padan muka kereta dia ditarik."

"Bwuh yo? Kereta Tae Hwan ditarik?"

"Oh..memang wajar mak buat macam tu. Dah cakap jangan cuba nak sakitkan hati mak tapi dia tak peduli. Biarkan dia."

"Tarik kereta anak mak sendiri? Ommonyim!" Eun Joo mengeluh. Sungguh tidak menyangka akan tindakan drastik wanita itu.

"Wei? Tak bolehkah mak buat begitu? Awak selalu saja menyebelahi anak teruk tu. Kali ni biar mak beri pengajaran pada dia. Sudahlah, mak tak nak cakap pasal ni lagi. Ara ji?!"

Eun Joo menarik muka keluhan. Ada-ada saja yang berlaku hingga dia sendiri hendak naik pening memikir.

0 comments: