Tuesday, February 26, 2008

Chapter 4

"AKU dapat tahu CEO baru tu adalah anak tunggal pengarah besar hotel ni," ujar Kwak membuka cerita.

"Betulkah? Kalau begitu mungkinkah CEO tu adalah lelaki?" Mi Na segera menyambut.


Kwak hanya menjungkit bahu. Tiada idea tentang siapa gerangan yang menyandang jawatan CEO baru hotel tersebut.

Byun menghampiri Shin Yeo yang sedang asyik membuat kerja di tempatnya tanpa mengikut serta dalam perbualan dua rakan sekerja wanitanya itu.

"Shin Yeo, rekaan kau dah siap?" Byun menyoal.
"Dah hampir siap." Pendek jawapan Shin Yeo.
Byun mengangguk. "Kena berusaha kuat agar gabungan rekaan kita akan terpilih dan yang paling penting pihak atasan berpuas hati dengan rekaan kita."
"Yeh.." sambut Shin Yeo selesai mendengar ucapan semangat si rakan.
"Fighting!" Seakan-akan memberi semangat pula sambil menggenggam lima jarinya.
Shin Yeo terus mengangguk. "Fighting!"
Byun jadi senang sekali. Dia tersenyum lebar.



EUN JOO mendongak lalu mendapati Tae Hwan meluru ke mejanya setelah masuk ke dalam bilik pejabat tersebut. Wanita itu tersenyum senang. Tae Hwan sungguh segak berpakaian formal seperti yang dipakainya pada hari itu. Jelas sekali akan ketrampilannya sebagai majikan besar malah menjawat CEO Hotel Seoul.


"Kau nampak sungguh kacak." Eun Joo memuji.

Tae Hwan senyum kambing, terasa seakan kelakar pula dengan pujian sebegitu.


"Dah jumpa mak?"

"Ahni. Rasanya jumpa awak dah cukup."


"Kurae," ujar Eun Joo bersetuju sahaja. "Aku dah minta Encik Gong untuk perkenalkan kau pada staf-staf kita. Berusahalah."

Tae Hwan mengangguk tahu kemudian meminta diri untuk pergi.


Eun Joo kelihatan puas. Sebenarnya dia gembira juga kagum terhadap adik lelakinya itu.



TATKALA sahaja dia menjejak masuk ke dalam ruang tersebut, kesemua staf lantas berdiri malah kebingungan sesama sendiri. Berteka-teki gerangan siapa yang kelihatan sungguh asing untuk berada di situ. Tiba-tiba pula pandangan kedua-duanya bertembung sejenak. Tae Hwan terkedu. Shin Yeo nampak bengang. Tergamam melihat antara satu sama lain.

Rasa semacam mengenali tetapi perasaan itu cuba dihapus. Buat-buat tiada apa yang berlaku. Apa yang pasti rasa semacam mula menimbul. Kekok.

"Selamat sejahtera semua!" Encik Gong menyapa. "Perkenalkan ini adalah CEO baru Hotel Seoul, Tuan Lee.."

"Lee-shi..panggil saja aku begini." Pantas Tae Hwan meningkah. Wujud sesuatu yang tersirat.

Shin Yeo dan rakan-rakan sekerja hanya menyaksikan suasana tersebut. Barangkali masing-masing berasa hairan dengan kata tingkah majikan baru mereka itu tetapi ia hanyalah perkara ringan.

"Tuan Lee akan bertanggungjawab dalam projek pembangunan bahagian baru di hotel ini. Pendek cakap, dia mengurus semua perkara yang berkaitan dengan projek tu jadi apa-apa hal pun akan diserahkan kepada Tuan Lee. Memandangkan tugas kamu berkait rapat dengan projek baru tu jadi Tuan Lee ditempatkan dalam unit ni hinggalah projek selesai. Lee-shi, mereka berempat adalah pereka upahan hotel kita khusus untuk projek pembangunan tu. Selagi projek belum selesai, gaji mereka ditanggung oleh pihak hotel. " Panjang lebar Encik Gong memberikan penerangan.

Tae Hwan mengangguk faham. Riak wajahnya statik serius.

Kwak dan Mi Na nampak senang, mungkin tidak menyangka CEO baru hotel tersebut adalah insan lelaki yang nampak berkarisma.

"Lee-shi, biar aku perkenalkan rakan-rakan yang lain. Aku adalah Byun dan ini Cik Hyun, pereka bentuk projek ni." Byun merujuk dirinya dan juga Mi Na. "Mereka berdua pula adalah pereka hias dan dalaman, Cik Kwak dan Cik Kim."

Entah bagaimana sepasang matanya menangkap akan kad pas masuk wanita itu di atas sebuah meja yang terbentang nama penuhnya, KIM SHIN YEO. Justeru itu juga terungkai segala tanda-tanya yang terbayang dalam mindanya ketika terlihat akan wajah wanita tersebut di dalam sebuah bas awam tempoh hari. Iras-iras wajah yang agak mirip dengan seseorang yang pernah dikenali sebelum itu. Sah! Kata nalurinya memang tepat. Mereka adalah orang yang sama cuma wajah agak berubah. Manakan tidak, tiada pertemuan berlangsung selama beberapa tahun itu. Lalu tidak hairanlah jika dia nyaris tidak dapat mengecam.

Kwak dan Shin Yeo sama-sama menunduk, tanda hormat.

Tae Hwan menunjukkan riak biasa, buat-buat tidak mengenali wanita itu sekalipun sudah pasti memang dialah orangnya.

"Pada kalian semua, sila beri tunjuk ajar." Tae Hwan memberi rasa penghormatan.

"Pada Tuan Lee, selamat datang bertugas!" Byun mewakili ucapan lalu mereka sama-sama menunduk sekali lagi, membalas penghormatan majikan baru berkenaan.

"Kalau begitu nampaknya tak ada apa-apa lagi jadi saya pergi dulu. Lee-shi, selamat datang." Encik Gong menghulurkan tangan.

Pantas Tae Hwan menyambut dan mereka berdua berjabat ramah sebelum Encik Gong melangkah keluar dari bilik unit tersebut.

Tae Hwan kemudiannya memandang wajah-wajah staf bawahannya yang seakan menanti sesuatu daripadanya. "Sambunglah kerja masing-masing. Kalau ada apa-apa aku akan panggil Encik Byun."

"Deh," sambut Byun bersama sekilas senyuman.

Segera sahaja Tae Hwan berlalu masuk ke dalam bilik pejabatnya. Lagak Shin Yeo kelihatan tengah berteka-teki. Betulkah majikan baru itu sebenarnya adalah orang yang pernah dikenali sebelum ini? Mengapa ada iras-iras yang membuatkannya berfikir sedemikian jika Tuan Lee bukanlah orang yang difikirkannya? Kalau benar dialah orangnya, sungguh tidak dijangka rupa-rupanya dia adalah anak orang berada. Anak pemilik hotel ternama Korea.

"Wah! Kacaknya bos baru kita." Terpacul jua kata pujian dari mulut Mi Na.

Kwak sekadar tersenyum. Sependapat dengan rakan sekerjanya itu barangkali. Byun pula menggeleng-gelengkan kepalanya, baginya sudah menjadi kebiasaan kebanyakan wanita tertarik dengan lelaki tampan. Shin Yeo pula kelihatan selamba sahaja menyambung tugasnya meskipun kekeliruan dan teka-teki masih bermaharajalela dalam benaknya. Namun dia syak tersilap orang. Statik, pandangan naifnya itu tidak mampu menyerlahkan perasaan sebenarnya.

Tae Hwan menghempaskan punggung di atas kerusi lalu bersandar pada dada kerusi tersebut. Sambil memusing-musing tempat duduknya itu, dia melontar pandang ke luar jendela yang menampilkan suasana di luar bilik pejabatnya meski jendela ditutupi dengan langsir bergaris. Agak samar-samar. Tetapi langsung tidak menghalangnya untuk terus memerhati. Serius sahaja dia memerhatikan wanita itu yang nampak asyik dengan kerjanya. Mindanya mula melayang. Apa wanita itu tidak mengenalinya langsung? Bagus juga jika itulah yang berlaku. Juga nampak benar dia sendiri sangat dingin seolah-olah berasa menyampah atas apa yang baharu terjadi di luar sebentar tadi.



MESYUARAT sedang berlangsung antara Tae Hwan dan keempat-empat stafnya. Beberapa buah rekaan yang merupakan gabungan idea semua staf yang telah siap ditunjukkan kepada Tae Hwan untuk membuat penilaian.

"Apa pendapat tuan tentang rekaan-rekaan tu?" Ramah pula mulut Mi Na bertanyakan soalan.

"Boleh tahan. Kesemua konsep memang sesuai dengan tema projek baru tu," jawab Tae Hwan ringkas. Masih meneliti kepelbagaian rekaan tersebut.

"Betulkah?" Byun nampak agak berpuas hati pula.

"Meskipun semua rekaan yang siap tu adalah gabungan idea kami berempat tapi Shin Yeo banyak berjasa dalam hal ni sebab dia yang paling banyak curah idea dalam kebanyakan rekaan tu," beritahu Kwak.

Byun menyedari ada kesilapan di situ. Dia mula mengekek. "Emm..Lee-shi, maksud Cik Kwak tu adalah Cik Kim Shin Yeo."

"Eh? Yeh.." Kwak terus menyambut. Baru sedar mana mungkin majikannya itu tahu siapa sebenarnya Shin Yeo kerana pada awal sesi perkenalan tadi, Byun hanya menyebut nama keluarga. Dia hanya tersengih bercampur geram terhadap diri sendiri.

Tae Hwan memandang sekilas kepada Shin Yeo yang berdiam sahaja. Tidak diberitahu pun dia memang sudah mengetahui nama penuh wanita itu. Malah juga pernah mengenalinya. "Baiklah, pertama kali aku ingin ucap tahniah dan terima kasih atas kerjasama yang diberikan bagi menghasilkan semua rekaan ni. Aku akan minta pengesahan dari pengarah besar secepat mungkin. Sekarang kita bersurai."

Tanpa berlengah juga, Tae Hwan mengangkat kaki dari bilik mesyuarat kecil itu.
Byun kelihatan senang sekali kerana penilaian rekaan-rekaan tersebut berjalan lancar.

"Tiba-tiba aku rasa macam dah jatuh suka pada Tuan Lee. Dia dah berpunya kah?" Mi Na mengomel pula.

Kwak menggeleng-gelengkan kepalanya. Dalam pemikirannya Mi Na sudah seakan gila bayang.

"Tapi Tuan Lee nampak sangat serius. Dia memang begitu atau ada masalah?"

"Dengar-dengar dari staf hotel yang lain dia memang begitu." Byun mencelah.

"Apa-apa pun Tuan Lee nampak sungguh berkarisma. Aku suka lelaki sebegitu."

Kwak mencebik lembut. Apa dah jadi pada kawannya itu? Kemaruk kah?

Shin Yeo dan Byun lebih banyak berdiam sambil menikmati juadah rehat di satu sudut berdekatan ruang dapur pejabat. Tiba-tiba Tae Hwan melangkah keluar dari biliknya. Serius sahaja lagaknya. Mi Na mengekori langkah si tuan sehingga menghilang. Nampak dia berkenan pada CEO baru itu.

"Betulkah dia memang dingin begitu?" Kwak masih tertanya-tanya.

"Cik Kwak, tak apalah. Aku tetap rasa siapa saja yang menjadi kekasih Tuan Lee memang bertuah. Kaya pula tu." Mi Na tidak henti-henti daripada omelannya.

Sementara Shin Yeo pula bagai hanya mengambil ringan akan perbualan rakan-rakannya. Sambil lewa sahaja dia menghirup air minumannya.

0 comments: