Tuesday, March 4, 2008

Chapter 7

HARI sudah semakin senja. Kereta mewah milik Ji Sung sudah sampai di hadapan sebuah rumah kecil tetapi nampak selesa dan unik. Mereka berdua menghadap antara satu sama lain.

"Lain kali kita pergi tengok wayang lagi. Nak tak?" ujar Ji Sung membuahkan rancangan.

"Chua," sahut Shin Yeo sambil mengangguk.

"Kurae, awak dah nampak letih. Tidur awal sikit."

"Awak juga." Menujukan maksud yang sama kepada Ji Sung.

Shin Yeo sekadar memerhati sang kekasih beredar hendak masuk kembali ke dalam kereta.

Tiba-tiba Ji Sung memalingkan wajahnya, menghadap Shin Yeo lagi.

"Shin Yeo.."

"Eh?" Shin Yeo menyambut dengan riak aneh kelihatan di sudut wajahnya.

"Shin Yeo.." Ji Sung mengulang nama yang sama.

Semakin aneh pula Shin Yeo dibuat telatah pelik lelaki itu yang datang secara tiba-tiba. "Yeh..?"
Agak lama Ji Sung tersenyum sendiri menjadikan Shin Yeo tertanya-tanya. "Sebutlah nama saya."

"Deh?" Shin Yeo terkesima buat seketika.

"Saya nak awak sebut nama saya." Ji Sung membuat permintaan.

Baharulah kerutan di wajah Shin Yeo beransur hilang. Rupa-rupanya itu yang Ji Sung inginkan tetapi mengapa semacam sukar hendak diluahkan kepadanya? Segan mungkin.

"Boleh awak panggil saya?" gesa Ji Sung pula.

Shin Yeo memandang lelaki itu dan segaris senyuman manis terukir di bibirnya. "Selamat malam, Ji Sung-shi."

Ji Sung nampak sungguh lega. Selesa. Sejak permulaan hubungan cinta mereka, Shin Yeo masih menggunakan perkataan cikgu apabila berbahasa dengannya. Lama-kelamaan dia jadi tidak selesa lalu sejak detik itu dia mahu Shin Yeo menyebut dirinya dengan nama. Jika Shin Yeo terlupa, dia membetulkannya. Hasilnya, tiada lagi perkataan cikgu wujud ketika menyebut Ji Sung. Bahkan ia mengukuh lagi ikatan mereka berdua tanpa batasan bekas cikgu dengan pelajarnya.

"Saya dah puas hati. Selamat malam, Shin Yeo."

Tanpa berlengah, dia terus memasuki keretanya yang kemudian dipandu perlahan, menjauh dari posisi Shin Yeo yang statik berdiri menghantar pemergian lelaki itu dengan ekor mata sahaja. Kadangkala jika dia mengimbas kembali kenangan bertahun lalu, betapa banyak perbezaan yang berlaku. Dulu cikgu dan pelajar, kini pasangan kekasih. Namun dia tidak pernah menyesal menerima Ji Sung sebagai seorang lelaki yang bakal menjadi teman hidup.

KEKADANG Tae Hwan singgah ke kafe itu untuk membeli makanan ringan. Selalunya burger menjadi menu kegemarannya di situ.

Ketika Tae Hwan hendak menghala ke tempat parkir, perhatiannya tiba-tiba disekat dek pertelingkahan yang berlaku berhampiran.

"Kau jangan degil!"

"Aku tak mahu! Sakitlah! Lepaskan aku!" Rengus si gadis separuh menjerit. Kesakitan.

Seorang lelaki berkeras ingin membawa gadis itu secara paksa sementara si gadis pula sedaya-upaya melepaskan dirinya.

Lima jari Tae Hwan secara langsung mencengkam pergelangan tangan si lelaki, sekaligus membuatkan kedua-dua pasangan berlainan jantina itu memandang kelu ke arahnya.

"Lepaskan dia." Cukup serius nada yang Tae Hwan luahkan.

Si lelaki nampak marah lalu menepis kasar tangan Tae Hwan dari terus membuat cengkaman terhadapnya dan dalam waktu yang sama dia terpaksa meleraikan pegangan ke atas si gadis tadi yang lekas-lekas bersembunyi di belakang tubuh Tae Hwan yang entah dikenali atau tidak. Apa yang penting bagi si gadis saat itu adalah keselamatannya.

"Ya! Kau nak cari gaduh dengan aku kah?!"

Orang awam yang turut berada di situ mula menjadi pemerhati. Seolah-olah berasa teruja pula menyaksikan pertelingkahan sebegitu.

Belum pun sempat Tae Hwan membalas apa-apa, si lelaki sudah gagah menolak-nolak dada bidangnya membuatkan dia sedikit terundur. "Apa?! Kenapa nak masuk campur hal orang?! Kau ingat kau siapa?!"

Tetapi Tae Hwan tampak bertoleransi pula. Dia tidak mahu bertindak.

"Si pengecut! Lebih elok kau berambus dari sini!" Si lelaki masih bermegah diri.

Tae Hwan menggeser sekali hidungnya yang tidak gatal, menunjukkan kesesakan jiwanya. Si lelaki cuba mendapatkan semula si gadis tadi. Lantas satu tumbukan mengena di wajah si lelaki. Si gadis melopong. Sungguh tidak menyangka si penyelamat bertindak sedemikian rupa. Si lelaki terus cuba membuat beberapa gaya sepakan serta serangan terhadap lawannya namun ayunan kaki Tae Hwan sebaliknya berjaya menendang perut si lelaki.

Terbeliak mata si gadis, tidak berkedip lagi menonton aksi realiti antara dua lawan. Malah tendangan itu turut membuatkan si lelaki rebah tersungkur. Rasa seksa dibelasah.

"Kau nak tunjuk hebat di sini?!" Akhirnya personaliti sebenar Tae Hwan terserlah. "Ya! Si bodoh! Kau yang patut berambus!" Lantang suara Tae Hwan memberi amaran.

Si lelaki terus melangkah pergi dari situ bersama kesakitan, menimbul rasa segan dimalukan depan khalayak sebegitu. Inilah akibat terlalu menunjuk samseng. Alih-alih dia yang dapat pekena.

"Jangan biar aku jumpa kau lagi!" Ditambah lagi dengan keseriusan wajahnya, Tae Hwan benar-benar memaksudkan ayat itu.

"Ya! Kau juga jangan berani jumpa aku lagi!" Tiba-tiba si gadis tadi mencelah dengan nada nyaringnya, mendedikasikan peringatan itu kepada lelaki yang sama.

Tae Hwan menjeling kejap, rasa semacam pula dengan tindakan agresif gadis itu sebentar tadi.

Si gadis tersengih menatap wajah Tae Hwan yang memperlihatkan wajah tiada masa mahu melayan karenah gadis itu. Selajur dia hendak segera meninggalkan tempat tersebut tanpa mahu mempedulikan si gadis yang kebingungan memandangnya yang bersahaja. Orang-orang awam yang menjadi penonton sudah mula beredar.

"Oppa! Ya!" Si gadis cuba memanggil.

Kelihatannya Tae Hwan sengaja memekakkan telinga. Dia terus mengorak langkah.

"Tae Hwan Oppa!"

Lantas termati jejak lelaki itu. Sekalipun nampak malas, dia menyudikan juga dirinya untuk berpaling. Aik? Si gadis mengenalinya kah?

"Oppa..kau nak tinggalkan aku begitu saja?" Si gadis menyoal. Benarkah dia kenal si penyelamat itu?

"Aku tak ada masa sekarang. Anda." Ringkas sahaja jawapan Tae Hwan kemudian berlalu.

"Komawo!" Lalu sahaja si gadis tersenyum lebar.

Tae Hwan setakat mempamerkan wajah bukan apa sangat pun ucapan terima kasih itu dihalakan kepadanya. Selamba sahaja dia mengedarkan jejaknya terus ke hadapan.

"Komawo Tae Hwan Oppa!" Tidak putus-putus ucapan itu keluar dari mulut si gadis. "Oppa! Kau memang hebat!"

Namun kelibat belakang tubuh Tae Hwan terus menjauh. Si gadis pun berhenti menjerit. Dia menghela nafas lega akan tetapi lagaknya seperti masih ada yang ingin dibicarakan waktu itu. Kurang berpuas hati.

BYUN menghampiri meja Tae Hwan dan meletakkan sebuah fail yang berisi pelbagai butiran peribadi semua staf yang terlibat dalam projek pembangunan baru hotel tersebut di atas meja CEO itu.

"Sajangnyim, kalau kau mahu hubungi aku atau staf-staf lain, kau boleh dapat nombor kami semua dari dalam fail ni."

"Komapta."

Byun menundukkan kepalanya sebagai balasan sebelum keluar melalui pintu bilik pejabat.

Kerjanya sebentar tadi dibiarkan ke tepi buat seketika sementara dia mula berminat membelak-belak isi kandungan fail butiran peribadi staf-staf bawahannya itu. Satu muka surat ke muka surat yang lain. Belakannya terhenti pada halaman peribadi milik Kim Shin Yeo. Acuh tak acuh sahaja lagak Tae Hwan meneliti butiran tersebut.
Sesekali matanya menjengah ke luar tingkap, curi-curi memerhati gerak-geri Shin Yeo dari dalam sekalipun tidak berapa jelas dek langsir tingkap yang bergaris. Dia mendail nombor menerusi telefon bimbit.
Kosentrasi Shin Yeo sedikit teralih disebabkan telefon bimbitnya yang tiba-tiba berbunyi. Nombor yang tidak dikenali menerjah ruang skrin telefon canggih itu. Berkerut dahi Shin Yeo menatap nombor tersebut. Tae Hwan melekapkan hujung handphone miliknya ke telinga sambil memerhatikan kelatah Shin Yeo yang tidak menyedari perbuatan si bos. Aahai..Tae Hwan mahu mempermainkan wanita itu agaknya.

Ketika dia hendak menjawab panggilan itu, nombor tadi terus terpadam menjadi missed call. Shin Yeo berasa pelik kemudian dia cuba pula untuk menghubungi kembali panggilan tersebut. Nombor milik Shin Yeo tertera pada skrin monitor telefon bimbit Tae Hwan.

Dibiarkan sahaja telefon miliknya itu berdering. Melihatkan tingkah Shin Yeo yang masih tertunggu-tunggu panggilannya dijawab membuatkan Tae Hwan tersenyum sinis. Lantas dia menanggalkan bateri telefon bimbit tersebut. Maka terputuslah panggilan Shin Yeo.

Shin Yeo berasa semakin pelik. Orang tersilap menghubungi nombornya kah tadi? Lalu dia tidak mahu mengambil kisah. Malas mahu memikirkan soal pemilik nombor itu.

Puas dengan permainan yang dicipta sendiri sebentar tadi. Tae Hwan menyambung kerja yang tergendala kembali.

0 comments: