Tuesday, March 4, 2008

Chapter 10

TEPAT jam 9.30 malam baharulah Shin Yeo siap menyempurnakan kerja fotokopi. Alih-alih dia bersendirian sahaja. Seronoknya rakan-rakan yang lain mungkin sedang bersantai dan berhibur waktu itu. Tidak mahu melamun panjang, lekas-lekas dia mengemas mejanya sebelum memadam lampu pejabat. Penghawa dingin pula dibiarkan sentiasa berfungsi.

Duduk-duduk Shin Yeo di perhentian bas, menanti kenderaan awam tersebut singgah. Sesekali dia seperti sedang melayan minda memikirkan sesuatu yang akhirnya membuatkan dia mengeluh ringan.

Lampu isyarat berwarna merah menyala. Tae Hwan menghentikan keretanya. Sebuah bas kemudiannya berhenti di sebelah. Shin Yeo betul-betul berada di tepi tingkap bas yang membolehkannya melihat kereta bersebelahan. Akan tetapi kedua-duanya tidak perasan malah lebih fokus melayan perasaan sendiri.

Ketika Shin Yeo tergerak hendak menoleh ke luar tingkap, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi.

Lampu isyarat sudah bertukar ke warna hijau.

"Ji Sung-shi?" Shin Yeo menjawab panggilan.

Tae Hwan membelok stereng kereta ke arah kiri manakala bas menghala ke jalan hadapan.


"KOMAWO, Shin Yeo!" Girang nada Mi Na menghulur ucapan ehsan terhadap rakan sekerjanya. "Mujurlah kau sudi tolong aku. Bertuahnya aku dapat kawan macam kau. Lain kali aku pasti akan balas budi baik kau ni."

"Mi Na-shi..janganlah berkira sangat." Shin Yeo menyambut.

"Tak boleh. Aku mesti akan tolong kalau kau perlukan aku. Oh?"

Shin Yeo mengangguk sahaja. Tidak tahu apa lagi hendak diutarakannya.

"Bagaimana dengan mak kau, Mi Na-shi?"

"Mm..mak baik saja. Perjanjian tu berjalan dengan baik."

"Sebenarnya mak kau ada masalah apa?" Shin Yeo berlanjutan ingin tahu.

"Mak tak ada masalah tapi perjanjian dengan tauke pajak tu saja memeningkan kepalanya."

"Eh?" Shin Yeo terkedu buat seketika. "Kelmarin tu bukan perjanjian doktor?"

Mi Na ketawa pula. "Bukanlah. Kau ingat mak aku sakit kah? Merepeklah. Aku temankan mak bincang tentang perjanjian dengan seorang tauke pajak. Mak aku pajak barang kemasnya dengan janji akan ambil balik barang tu bila dah ada cukup wang tapi tauke tu pecah amanah. Dia jual pula barang kemas mak aku pada orang lain sedangkan dia dan mak dah buat perjanjian bertulis. Sekarang semua dah selesai bila aku dan mak cuba ancam dengan melapor hal tu pada polis. Tauke tu bimbang jadi bayar ganti rugi. Itulah cerita perjanjian yang sebenarnya."

"Ah..macam tu kah?" Shin Yeo nampak seakan hendak melepaskan keluhan pula ketika mendengarnya. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya. Biarlah..dia memang ikhlas melakukannya untuk Mi Na.


"ONNI!" Eun Joo terkaku buat beberapa saat sebelum memusingkan tubuhnya ke belakang. Dia jadi ingin tahu adik siapa pula yang menjerit panggil.

Terjegil sepasang matanya melihat gerangan siapa yang sedang meluru ke arahnya waktu itu. Terkejut.

"Hye Ri?" Hanya sebuah nama mampu terkeluar dari mulut Eun Joo.

Si pemanggil setakat menguntum senyuman mesra lagi menawan. Rupa-rupanya panggilan tadi ditujukan buat Eun Joo.

Waktu itu mereka berdua menikmati minuman panas di restoran hotel. Eun Joo sangat senang akan kedatangan gadis itu ke sana memandangkan mereka sudah lama tidak bersua-muka.

"Dah cari kerja?" tanya Eun Joo perihal perkembangan terkini si gadis.

Hye Ri menggeleng. "Saya masih belum bersedia nak bekerja. Biarlah dulu. Sampai masanya nanti saya pasti akan bekerja juga."

Eun Joo mengangguk-angguk faham. Citarasa anak muda-mudi masakini memang berbeza. "Hye Ri..kalau hati kau dah terbuka nak bekerja, cubalah cari peluang bekerja di sini. Mungkin nasib kau baik diterima lagipun kau tamat belajar dengan cemerlang. Kau dan Tae Hwan sama-sama buat aku rasa kagum."

Terukir senyuman puas di bibir Hye Ri. Kembang jiwanya mendengar pujian wanita itu.

"Yakah?" Hye Ri ketawa senang. "Rasanya kalau saya nak bekerja di hotel ni, saya tak perlu risau kerana saya tahu awak pasti akan menerima saya. Betul tak?"

Nada gurauan ayat gadis itu serba sedikit menghiburkan Eun Joo.

"Masa ni saya tak berminat cakap pasal kerja. Mm..Abang Tae Hwan mana? Sejak tadi saya berada di sini batang hidungnya langsung tak nampak." Tiba-tiba sahaja Hye Ri mengomel tentang CEO baru hotel tersebut. "Saya rasa dia dah semakin sombong. Macam tak nak pedulikan saya lagi." Satu keluhan terlepas ditambah lagi dengan wajah yang monyok. Menggambarkan dia sebenarnya terasa dengan layanan endah tak endah yang Tae Hwan tonjolkan kepadanya.

"Agaknya dia sibuk sekarang jadi tak selalu keluar dari pejabat. Kerja Tae Hwan bukan lagi macam menguruskan sebuah resort. Lagi pula waktu ni projek baru akan bermula. Kenapa? Kau rindukan dia?" Eun Joo cuba-cuba mengusik.

"Oh?" Nampak terkedu Hye Ri dek soalan akhir tersebut. "Tentulah saya rindukan dia. Kan dia kawan saya? Cuma sekarang dia tak nak pedulikan saya lagi."

Eun Joo menggeleng-gelengkan kepalanya. "Tae Hwan bukan macam tu orangnya. Mungkin atas sebab sibuk, dia tak dapat beri perhatian yang lebih pada kau. Hye Ri, harap kau jangan ambil hati. Tae Hwan tak sombong."

Hye Ri tersenyum. "Ara wo. Onni, awak janganlah bimbang. Saya cuma marah sekejap saja."

"Baguslah kalau begitu. Aku pun tak nak tengok kamu berdua bertelagah padahal kamu baik-baik saja selama ni." Eun Joo menghirup air minumannya sebelum menyambung kata. "Bagaimana dengan pak cik dan mak cik? Mereka sihat?"

"Deh..mak selalu juga tanya mengapa awak jarang lagi nak pulang ke Cheju? Yalah..kita kan bersaudara. Tentu ayah dan mak pun nak awak selalu jenguk mereka. Tapi saya selalu beritahu yang awak sibuk dan mereka boleh faham."

"Terima kasih, Hye Ri. Aku pun tak nak mereka salah faham aku jarang pulang ke Cheju. Kau memang seorang gadis yang baik hati."

"Onni, jangan cakap macam tu. Kita kan adik-beradik sepupu. Tak usah berkira sangat."

Cukup senang dan berbunga hati Eun Joo mendengar ungkapan si gadis yang mendamaikan. Dia dan Hye Ri sudah lama mengenal antara satu sama lain sejak kecil lagi malah mereka selalu bermain sewaktu tinggal bersama di Cheju. Tetapi selepas dia berkahwin, mereka jarang lagi bertemu dan hanya sesekali berhubung. Apa pun yang terjadi, mereka tetap rapat dek pertalian keluarga yang kukuh.


"SEMUA pegawai atasan Hotel Seoul dijemput hadir ke majlis ulangtahun hotel tertua di bandar ni malam esok. Aku amat harap kau boleh datang sama. Aku dan mak juga akan berada di situ. Lagipun kau adalah CEO baru jadi tak elok kalau tak tunjuk muka." Eun Joo memberitahu perihal sebuah notis jemputan bersama pesanan.

Tae Hwan nampak keberatan.

"Demi reputasi hotel kita, kau datanglah."

"Saya akan cuba tapi tak janji datang." Acuh tak acuh Tae Hwan mengeluarkan jawapannya.

"Tae Hwan.."

"Puan Han, awak tentu tahu saya tak suka hadiri majlis rasmi sebegitu." Balas Tae Hwan, berterus-terang.

"Andwae. Kau kena datang juga. Jumpa malam esok."

Nampaknya Eun Joo bertegas kali ini. Lantas dia hendak beredar malah ketika dia hampir melangkah keluar dari pejabat CEO itu, dia menghadap Tae Hwan semula. "Aku hampir terlupa. Hye Ri datang sini tadi. Dia minta sampaikan salam rindunya untuk kau."

Apabila mendengar, geli hati Tae Hwan. Rasa kelakar pula. Salam rindu? Senyumannya jadi meleret.

Entah apa yang berlaku sebenarnya, Eun Joo tidak pasti. Lalu dia membiarkan sahaja perkara tersebut. Antara Tae Hwan dan Hye Ri, dia tidak mahu masuk campur tetapi sungguh, dia berasa senang melihat kelatah Hye Ri terhadap Tae Hwan.

0 comments: