"BODOHNYA kau! Hal macam ni pun kau tak tahu nak tangani? Apa dah jadi sekarang?!" Marah Tae Hwan. Meledak pula perasaan sakit hati dia di luar kelab karaoke.
Shin Yeo enggan berkata apa-apa. Dia menunduk pandang.
"Kalau pun dia kaki perempuan, takkan kau tak boleh ikut kehendaknya? Aku ingat kau boleh buat tapi nyata kau dah gagal!"
Shin Yeo tersentap. Apa yang sudah didengarnya? "Apa maksud kau aku boleh ikut kehendaknya?"
"Ya Kim Shin Yeo-shi! Tak bolehkah kau jadi orang lain untuk berhibur dengan klien? Temankan dia, menyanyi, menari untuk dia. Itu saja. Bukannya buat perkara yang tak senonoh pun. Kau betul-betul tak boleh buat kah? Kau memang bodoh!"
Shin Yeo cuba menenangkan diri sendiri. Apa Tae Hwan saja mahu mempermainkannya? Seperti yang selalu lelaki itu lakukan terhadapnya?
"Aishh..! Aku jadi menyampah tengok kau sebodoh ni. Dulu bukan main kau adalah pelajar terbaik di sekolah dan sekarang, kau rupanya masih berfikiran kolot. Kau langsung tak boleh diharap! Bencinya aku tengok kau!"
Shin Yeo dan Tae Hwan saling merenung tajam. Menyampah dan sakit hati antara satu sama lain.
"Kau saja mainkan aku, ke cho?" Semakin tajam renungan Shin Yeo. Tidak pernah dibuatnya sebelum ini. "Sajangnyim, kau pergi saja cari perempuan lain yang boleh tahan dengan si angkuh tu!" Dadanya sedikit turun naik mengawal amarah.
Segera Shin Yeo berpaling dan berlalu meninggalkan Tae Hwan di belakang. Amarahnya berbaki. Dia berasa tidak bersalah menempelak si bos. Sungguh dia berasa dipersenda. Tergamak betul Tae Hwan memperlakukannya sedemikian. Sudahlah si klien menganggapnya boleh dijadikan bahan hiburan, Tae Hwan juga memberikan anggapan sebegitu terhadapnya? HUh! Sakit hatinya hanya Tuhan yang tahu.
Matanya masih memerhati langkah pemergian Shin Yeo. Segaris senyuman sinis terukir di bibir Tae Hwan. Seakan-akan menandakan satu kepuasan di jiwa. Entah mengapa lagak Tae Hwan bagai mahu melepas dendam yang tiada pangkalnya. Ada sahaja idea hendak mengenakan Shin Yeo. Apa sebenarnya yang tidak kena pada dirinya sehingga berniat melakukan sedemikian?
Namun senyuman itu seketika cuma. Renungan matanya kian menajam yang lalu terarah kembali ke lokasi kelab karaoke.
DAUN pintu bilik dikuak perlahan dari luar. Si klien yang tengah berseronok ditemani gadis-gadis cantik nampak terkejut akan kemunculan lelaki itu. Dia terus bangun menghadap Tae Hwan.
"Sekarang apa yang kau nak? Tak puas hati lagi? Nak merayu pada aku kah?" Si klien bermegah diri.
Tae Hwan tersenyum senget. Perasaan geram terhadap si klien masih belum pudar.
"Aku takkan bekerjasama dengan kau. Itu dah muktamad. Ya Lee Tae Hwan! Kalau kau benar-benar ingin berjaya, jangan berlagak macam kau bagus sangat. Satu hal lagi, lebih elok kau pecat saja pekerja wanita bodoh tu. Dia takkan bawa apa-apa faedah pada kau mahupun perniagaan kau. Meluat betul!"
"Ya! Kau tak perlu ajar aku." Sambut Tae Hwan membalas.
"Bwuh?!" Membulat mata si klien merenung Tae Hwan. Naik angin lagi.
"Aku datang sini balik bukan nak merayu kau, jangan haraplah!" Tinggi suara Tae Hwan membidas. "Ya! Punya gedung besar, ingat kau terkenal sangat kah? Menyampahnya! Cuma nak beritahu kau, aku pun dah tak ada hati langsung nak bekerjasama dengan kau. Lagi satu, tak usah ajar aku nak pecat orang!"
"Jai shik ka!" Sumpah si klien marah.
Nyaris-nyaris Tae Hwan menghasilkan sebuah tumbukan ke wajah si klien yang terus sahaja kecut perut melihat respon lelaki itu. Tetapi dia cuba bersabar. Si pengawal peribadi bagai sudah bersedia melindungi tuannya.
"Nyata kau lelaki penakut. Pengecut!" ejek Tae Hwan. Dia melangkah hendak beredar.
"Lee Tae Hwan! Kenapa tak tumbuk aku? Bimbang kau akan disaman?!" Alahai! Si klien statik memperlihatkan keangkuhannya tetapi cuba-cuba berselindung di sebalik tubuh tegap pengawal peribadinya.
Sinis senyuman Tae Hwan. Lantas dia memalingkan tubuhnya dan mencapai sebotol arak di atas sebuah meja lalu menghumbankannya ke arah dinding betul-betul di belakang si klien. Pecah berkecai! Dengan diiringi jeritan kecil daripada pelayan perempuan yang sangat terperanjat dengan tindakan tetiba Tae Hwan. Mujur si pengawal peribadi sempat menyelamatkan si tuan. Jika tidak, Tae Hwan benar-benar bakal disaman. Dan jika itulah hakikatnya, dia takkan ambil kisah punya.
Si klien nampak menggeletar takut.
"Ya! Kau masih ada angin nak saman aku? Nasihat aku fikirlah masak-masak sebelum kau nak cakap banyak. Kalau tak, kepala kau akan betul-betul pecah nanti. Aya gessimika?"
Tanpa berlengah, Tae Hwan meloloskan diri keluar dari bilik tersebut.
"Tuan okey kah?" Si pengawal peribadi bertanyakan keadaan si tuan.
Si tuan pula hanya berdiam. Benar-benar seperti dalam dilema selepas kejadian yang berlaku. Padan muka!
TERDAPAT sedikit kelainan sedang melanda diri Shin Yeo detik itu, Ji Sung berbisik dalam hati. Tidak seperti hari-hari sebelumnya. Barangkali hal kerja yang menyibukkan minda Shin Yeo. Dia membuat anggapan sendiri.
"Kadang-kadang saya terkenangkan sesuatu tentang awak." Ji Sung mula bersuara.
Perlahan Shin Yeo menolehkan wajahnya, memandang Ji Sung yang sudah sedia mengukir senyuman.
"Pak Cik Kang pasti akan gembira dan kagum tengok awak sekarang."
Beransur-ansur Shin Yeo menguntum senyuman tetapi sedikit tawar. Tiba-tiba dia teringatkan Kang Goo. Sudah lama ayah saudaranya itu meninggalkan dirinya. Terkadang dia berasa rindu yang amat namun hanya mampu melepaskan kerinduan itu dengan melewati kenangan-kenangan yang pernah dialaminya bersama Kang Goo. Menemui insan dirindui itu mustahil akan berlaku.
"Awak teringatkan dia?"
Shin Yeo mengangguk sekali. Mana mungkin dia boleh melupakan Kang Goo, lelaki yang sentiasa menetap di jiwa dan hatinya dulu, kini mahupun selamanya. Cuma dia terkilan. Di saat kematian Kang Goo, dia tiada di sisi. Malah satu hari terakhir bersama Kang Goo 10 tahun dahulu memberi kesan yang mendalam sehingga sekarang.
"Saya masih ingat cakap Pak Cik Kang. Dia nak awak jadi setabah yang dia mahukan dan rasanya hasrat dia dah tercapai. Awak sangat tabah mengharungi hidup selama ni," sambung Ji Sung.
Buktinya, bilamana Shin Yeo diberitahu tentang kemalangan yang menimpa seterusnya membunuh Kang Goo, wanita itu tidak menangis sama sekali. Ji Sung tahu Shin Yeo memendam beban yang tiada tertanggung. Beberapa hari kemudian dia terlihat mata Shin Yeo bengkak. Dia menjangka Shin Yeo menangis tetapi dalam senyap malah dia yakin Shin Yeo mahu bertabah hati lantas wanita itu hanya mahu menangis sendiri. Selepas hari berkenaan, Shin Yeo kelihatan lebih cenderung menguatkan semangat untuk meneruskan kehidupan. Hingga kini, Shin Yeo sentiasa ingin bertenang meskipun dalam bersedih. Semahu-mahu, dia hendak menghalang dirinya daripada menangis. Itulah salah satu impian Kang Goo terhadapnya.
Ji Sung menatap wajah lembut Shin Yeo yang lalu memandangnya. "Shin Yeo, awak jangan bimbang. Saya takkan sekali-kali tinggalkan awak biarpun saya tak ada lagi."
"Ji Sung-shi.." Terharu rasanya telinga mendengar.
"Saya nak jadi macam Pak Cik Kang. Dia dah lama pergi tapi dia tetap berada dalam hati awak. Saya nak awak tempatkan saya sepertimana awak tempatkan Pak Cik Kang dalam hati awak." Jujur Ji Sung meluahkan ungkapan yang menjadi salah satu harapannya terhadap Shin Yeo.
"Tak boleh macam tu. Awak kena hidup lebih lama."
Ji Sung tersenyum lagi. Lalu menganggukkan kepalanya. "Deh. Saya kena hidup lebih lama supaya saya boleh sentiasa temankan awak."
Shin Yeo berasa sungguh damai. Serba sedikit kekusutan yang melandanya sebentar tadi terhapus. Ajaibnya kehadiran Ji Sung mampu mempengaruhi perasaan Shin Yeo.
Wednesday, March 5, 2008
Chapter 17
Posted by luckystar at 6:19 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment