Wednesday, March 5, 2008

Chapter 13

RAMAI VVIP dan VIP terdiri daripada para tetamu kenamaan yang menghadiri majlis ulang tahun sebuah hotel tertua di Korea, kekal teguh sehingga kini. Puan Choi dan Eun Joo turut kelihatan beramah-mesra dengan para jemputan yang lain. Sesekali Tae Hwan cuba membiasakan diri sekitar orang-orang asing, dalam suasana dan situasi yang sangat asing.

Kerana terpaksa, dia akur dengan kemahuan Eun Joo. Bukan apa, sememangnya dia sungguh tidak menggemari majlis rasmi sebegitu. Bosan. Menyampah dengan karenah-karenah dan kelatah-kelatah golongan yang hanya tahu mengejar nama. Paling membencikan, tergamak mengetepikan sesuatu yang lebih berharga. Contoh terdekat, dia menyenaraikan Puan Choi dalam golongan tersebut.

"Ya Park Ji Sung, kau datang juga akhirnya." Seorang rakan menyapa ramah.

Dia mengukir senyuman mesra. "Yeh..rasa macam tak elok kalau aku tak hadirkan diri malam ni. Lagi pula, sekarang aku adalah pengarah syarikat."

"Betul cakap kau. Kalau kau tak datang, orang takkan tahu kau dengan lebih dekat. Kau datang seorang saja? Mana pak cik dan mak kau?"

"Mak ada di Seoul. Lepas pembedahan jantung pak cik berjaya, mak cik bercadang nak bawa pak cik bercuti di Jepun. Jadi mungkin mereka akan berada di sana lebih lama. Aku gembira pak cik dah beransur pulih." Ji Sung bercerita perihal perkembangan ahli keluarganya.

"Mujur kau bersetuju nak mengambil-alih syarikat 10 tahun lalu. Kalau tak, aku sendiri tak dapat nak bayangkan bagaimana nasib syarikat keluarga kau tu. Kau memang hebat." Si rakan memuji pula dalam waktu yang sama.

"Ya..usahlah cakap macam tu. Kau pun sama hebat." Ji Sung merendah diri.

Mereka berdua serentak ketawa. Terhibur.

Eun Joo mengenalkan beberapa orang tetamu kenamaan kepada Tae Hwan yang semenjak tadi hanya menjadi pemerhati di tengah-tengah majlis. Nampak sangat dia tidak berminat hadir ke situ. Lantas kebosanan dibuang ke tepi sementara melayan tetamu-tetamu tersebut. Walhal perasaan sebenar masih tertera di sudut wajahnya yang tampak begitu berketrampilan. Sesuai dengan imej CEO hotel ternama.

"Kalau nak tahu, itulah dia CEO baru Hotel Seoul." Rakan menyambung kata.

Ji Sung menangkap pandang, tepat ke arah orang yang dimaksudkan oleh si rakan.

"Lee Tae Hwan-shi." Tambah si rakan lagi.

Tiba-tiba Ji Sung tersentap. Apa benar? Lee Tae Hwan? Mengapa nama itu seperti pernah didengarnya? Dia menajamkan lagi pandangan ke arah seorang lelaki muda berpakaian kemas yang semakin rancak berbual bersama kenalan-kenalan barunya. Semakin diperhati, semakin direnung. Ji Sung ingat. Lee Tae Hwan, bekas pelajar Sekolah Tinggi Yaksan yang dibuang sekolah. Pelajar yang seringkali dilabel sebagai pelajar bermasalah. Pelajar yang selalu ponteng dari kelas jasmani yang dia kendalikan sewaktu di sekolah dahulu. Satu-satunya pelajar yang setahunya selalu muncul di hadapan Kim Shin Yeo, kekasihnya kini. Juga satu-satunya pelajar yang suatu ketika dulu dia pernah percaya punya kaitan dengan Kim Shin Yeo. Kaitan yang dia syak lebih daripada seorang rakan sekelas meskipun dia masih ingat Lee Tae Hwan pernah sentiasa menafikan. Rupa-rupanya dia kembali lagi.

"Sebenarnya dia pernah jadi pengurus resort cawangan Hotel Seoul di Cheju tapi sekarang dia dah dipindahkan ke sini."

Cheju? Ji Sung menyorotkan mata. Mengimbas kembali informasi yang pernah didengarnya mengenai perpindahan pelajar Lee Tae Hwan ke Cheju. Jika begitu..benarlah dia orangnya.

"Mari. Aku kenalkan kau pada dia. Kami pernah jumpa tak lama dulu."

"Selamat maju jaya, anak muda." Salah seorang tetamu kenamaan menghulur ucapan penutup sebelum meninggalkan Tae Hwan bersendirian, pergi menegur rakan-rakan perniagaan yang lain.

Tae Hwan sekadar menunduk tengkuknya, sangat merestui pemergian si tetamu.

"Aneyo se yo, Lee-shi." Si rakan menegur. Mesra.

Tae Hwan memalingkan wajah. Terpegun sejenak. "Aneyo se yo. Oh? Rasanya aku macam pernah jumpa kau sebelum ni."

Si rakan terus tersenyum. "Deh..aku dan kau pernah jumpa di Cheju pada tahun lepas. Ingat lagi tak?"

"Deh.." angguk Tae Hwan. Dia juga masih mengingati perjumpaan antaranya dan lelaki itu.

"Lee-shi, kenalkan ini rakan seperniagaan aku. Park Ji Sung. Pengurus sebuah gedung pasaraya terkenal di sini. Gedung Jae Gum, kau tentu pernah dengar."

Saat mata bertentangan, sebenarnya sudah dapat dirasakan perasaan pernah mengenal antara satu sama lain sebelumnya. Aneh mula terbit dalam jiwa Tae Hwan namun perasaan itu tidak dizahirkannya. Pandangan Ji Sung yang menyinar lembut dan tentangan mata agak serius milik Tae Hwan, kedua-duanya membuktikan diri masing-masing. Terlalai. Ji Sung dahulu menghulur tangan. Perlahan, Tae Hwan menyambut jua.

"Kamu berbuallah dulu." Si rakan mengundur diri.

Sekali lagi perhatian Ji Sung tertumpu kepada Tae Hwan. Bekas pelajarnya itu pula bersahaja memandang sekeliling. Tiada idea hendak memulakan perbualan dengan lelaki itu. Ji Sung dapat melihat perbezaan Lee Tae Hwan. Wajahnya masih meninggalkan iras-iras budak remajanya. Semakin tinggi, tampak segak dan matang namun dia mengaku keselambaan bekas pelajar itu tetap wujud.

"Lee Tae Hwan..kau masih ingat aku?" Akhirnya Ji Sung berbicara. Merenung wajah di hadapannya.

Dia membalas renungan lembut bekas cikgu itu. "Kau kenal aku. Takkan aku tak kenal kau, Cikgu Park."

Tersimpul senyuman kecil di bibir Ji Sung. Sah! Dia tidak tersilap orang. Kalau bukan kerana si rakan memberitahu dan kalau dia tidak memerhati lebih teliti, pasti dia tidak mampu mengenal. Dari luaran, nyata Tae Hwan sudah jauh berubah. "Dah lama tak jumpa. Kau jadi CEO sekarang. Tahniah kerana berjaya."

"Komawo. Juga tahniah jadi pemilik gedung terkenal sekarang." Tae Hwan memberi balasan.

"Kau tentu hairan mengapa aku boleh beralih-arah? Dari seorang cikgu sekarang dah jadi pengarah syarikat. Pada mulanya memang susah tapi lama-lama jadi kebiasaan pula."
Tae Hwan diam. Pandangannya tetap fokus kepada Ji Sung. Mendengar lelaki itu terus bercerita.

"Tiba-tiba aku kagum dengan kau, Lee Tae Hwan. Kau dah banyak berubah. Aku nyaris-nyaris tak kenal. Dari pelajar yang selalu menimbulkan masalah di sekolah, kau berjaya jadi pegawai berjawatan tinggi. Sebenarnya kau seorang yang hebat."

"Ingatan kau masih kuat. Cikgu Park, kau perli aku kah?" Berani Tae Hwan menutur kata.

"Perli kau? Kalau seorang cikgu dengar pelajarnya berkata begini, dia dah tentu naik meradang. Ke chi?"

Lantas terukir senyuman sinis di wajah Tae Hwan. Tercuit pula hatinya mendengar ayat Ji Sung.

"Benar-benar tak sangka. Aku sungguh tak sangka akan jumpa kau lagi. Rupa-rupanya dah lama sangat masa berlalu. 10 tahun. Tapi hairannya, aku tak pernah lupa pasal kau."

"10 tahun.." sambut Tae Hwan. "Tapi kau tak pernah lupa pasal aku? Cikgu Park, tentu ada sesuatu yang sentiasa buat kau teringatkan aku." Di waktu yang sama dia juga berfikir-fikir. Agak lama tempoh tersebut.

Seketika mulut Ji Sung membisu. Dalam nada yang kedengaran bergurau, sebenarnya madah Tae Hwan itu mencuit perasaan dia dalam diam. Sesuatu yang mengingatkannya kepada Lee Tae Hwan?

"Lee Tae Hwan, tak usah sebut aku cikgu. Aku pun bukannya seorang cikgu lagi. Satu hari nanti kita mungkin akan bertemu atas dasar perniagaan. Jadi kau panggillah aku dengan nama."

Terdiam Tae Hwan. Entah dia menyokong atau tidak akan saranan lelaki itu, apa yang pasti dia nampak bersetuju sahaja.

"Aku nak ambil angin di luar." Ringkas sangat ungkapan Tae Hwan.

"Di luar? Mengapa pula?"

"Bagi pengetahuan kau, aku tak berapa gemar dengan majlis sebegini. Jadi lebih elok aku ambil angin segar di luar sana. Malah aku tak kisah kalau kau beritahu semua orang pasal ni."

Ji Sung tersenyum lebar. Tergerak untuk berasa kelakar. "Juga bagi pengetahuan kau, aku tak praktis jadi tukang cerita."

Kini Tae Hwan pula yang mengukir senyuman nipisnya. Nada menyeluru Ji Sung mengenyit perasaan. "Anda, Park Ji Sung-shi."

"Selamat bertemu kembali, Lee Tae Hwan."

Pantas Tae Hwan berlalu, menjauh dari posisi Ji Sung yang kemudian perlahan-lahan meluru ke sudut lain. Namun fokusnya tengah memerhati lagak anak muda berkenaan. Waktu itu dia dapat merasakan situasi kekok telah berlaku antara dia dan Tae Hwan. Tiada kemesraan langsung. Disebabkan sudah lama tidak bertemu barangkali. Hanya wujud kedinginan yang tersurat. Namun kalau difikirkan, memang sebenarnya tiada hubungan mesra antara mereka berdua selama ini, sewaktu zaman sekolah mahu pun sekarang.

Pertemuan tidak diduga bersama Tae Hwan langsung tiba-tiba terhapus dek fikirannya kemudian teralih kepada Shin Yeo. Dia terkenangkan sesuatu. Lee Tae Hwan adalah CEO Hotel Seoul. Adakah ini bermakna akan wujud kembali kaitan antara dua bekas pelajarnya itu? Juga..apa Shin Yeo sudah bertemu Tae Hwan? Jika itu hal yang sebenarnya, mengapa tiada suara Shin Yeo memperkatakan perihal Tae Hwan kepadanya? Apa Shin Yeo cuba menyembunyikan perkara tersebut? Buat sesekian, Ji Sung tampak bimbang.

0 comments: